Pelawak dan penyampai radio, Salih Yaakob menasihati kepada Dato Red yang ingin hidup berpoligami supaya mendalami ilmu agama terlebih dahulu kerana wang ringgit tidak menjanjikan kebahagiaan rumah tangga.
Salih mengulas lanjut berikutan kenyataan suami kepada penyanyi, Adira, Datuk Seri Adnan Abu yang menjadikannya sebagai mentor dalam soal poligami.
“Kehidupan yang saya lalui ini adalah ketentuan yang sudah ditentukan Allah SWT. Cuma, saya nak berpesan agar mendalami ilmu agama terlebih dahulu kalau mahu menjalani kehidupan berpoligami.
Jangan sekadar mempertaruhkan wang ringgit kerana itu belum mencukupi. Lagi satu jangan berlandaskan nafsu semata-mata kerana nafsu hanyalah alat saja”
“Bukan apa, hidup berpoligami ini satu tanggungjawabnya takkan berhenti. Banyak perkara perlu diambil kira terutama dalam mendidik isteri dan anak-anak.
Semua itu bukan mudah. Saya melalui lima kali perkahwinan, jadi banyak pengalaman sudah dilalui. Dalam masa sama, setiap isteri mempunyai perangai masing-masing,” katanya kepada Harian Metro.
Dalam pada itu, Salih menegaskan bahawa dirinya tidak mahu menggalakkan ataupun menghalang mana-mana lelaki yang mempunyai niat untuk hidup berpoligami, malah dirinya juga tidak kisah jika diangkat sebagai mentor dalam perkara ini.
Namun apa yang dipraktikan untuk dirinya yang juga berpoligami adalah berdasarkan pengalaman beliau tersendiri.
Terdahulu, Datuk Red dalam satu kenyataan pernah menyatakan hasratnya untuk berkahwin empat sebelum dirinya mencecah umur 40 tahun kerana masih tidak mempunyai kepuasan jika hanya mempunyai dua isteri.
Selain itu, beliau turut mengambil Salih Yaakob sebagai idolanya untuk berpoligami sebagaimana pelawak itu juga mempunyai empat isteri.